Rabu, 7 Disember 2016


"Kami Orang Dayak" 
Asal Usul Kaum Dayak

Kaum Dayak merupakan kaum terbesar yang menghuni negeri Sarawak. Kaum Dayak terdiri daripada etnik yang pelbagai akan tetapi kaum Iban merupakan kaum yang dominan dan menarik perhatian ramai. Hal demikian kerana kaum Iban memiliki pelbagai keistimewaan tersendiri. Kaum Iban merupakan penduduk peribumi dan kaum majoriti di Sarawak Bumi Kenyalang. Dengan peratusan majoriti yang lebih daripada 30% daripada jumlah peratusan penduduk di Sarawak mengikut kaum maka kaum Iban merupakan kaum yang paling dominan di Sarawak samada dari segi penentuan pengaruh politik dan sebagainya. Rata-rata kaum Iban di Sarawak telahpun menerima agama sejak kedatangan pengaruh agama di Sarawak, iaitu majoriti daripada mereka adalah penganut agama Kristian dan selebihnya menganuti agama Islam. Untuk artikel kali ini, penulis akan cuba menyingkap sejarah asal-usul kaum Iban di Sarawak dan keunikan kaum Iban yang pada hakikatnya satu pencarian yang begitu menarik dan unik berbanding dengan kaum-kaum lain di Sarawak.

Keunikan Kaum Iban di Sarawak

1. Masyarakat Iban gagah sesuai dengan dengan slogan "agi idup agi ngelaban"

Pahlawan Iban
Tengkorak Kepala Hasil Ngayau
Mandau
Pahlawan kaum Iban terkenal dengan budaya dan kegagahan mereka dalam upacara "ngayau" (Head Hunter). Mengayau berasal dari kata kayau yang bermaksud memotong kepala musuh. Upacara ini merupakan upacara yang dominan dalam adat suku kaum Iban Dayak di Kalimantan Barat.yang kebiasaannya dilakukan ketika musim peperangan berlaku.Tradisi ini bertujuan untuk keberanian, melindungi suku kaum Iban, memperluaskan wilayah dan salah satu cara terus bertahan untuk terus hidup. Mengayau dilakukan dengan mandau (senjata khas kaum Dayak) dan hanya oleh kaum lelaki Dayak. Tradisi ini berlangsung lama sehingga kemunculan agama Kristian masuk ke Kalimatan menyebabkan tradisi ini semakin berkurang.

2. Memiliki tatu (mencacah badan) yang unik


Tatu Kaum Iban

Amalan mencacah tubuh atau bertatu menjadi amalan bagi orang Iban. Corak tatu di badannya mereka juga turut berbeza-beza. Perbezaan corak tatu ini untuk membezakan pelbagai kaum yang terdapat di Sarawak. Gambar di atas merupakan corak tatu kaum Iban. Corak ini dikenali sebagai bunga terung. Corak tatu mereka lebih berunsurkan flora dan fauna seperti bunga terung, burung kenyalang, naga dan banyak lagi. Tatu ini juga menunjukkan keberanian dan pangkat seseorang. Misalnya bagi kaum lelaki, tujuan mereka bertatu ini adalah untuk menunjukkan bahawa mereka pernah terlibat dalam peperangan dan banyak pengalaman. Bilangan tatu di badan juga akan ditentukan dengan jumlah kepala musuh yang di penggal dan di bawa balik daripada memburu (ngayau). Manakala bagi kaum wanita, mereka bertatu untuk menunjukkan kebolehan mereka memasak, menganyam, menari (Ngajat) dan berpantun.
Alatan buat tatu

Proses  buat tatu



Alatan untuk mencacah tubuh ini secara tradisional seperti pemegang kayu dan jarum. Jarum akan diikat di hujung pemegang kayu. Pukulan ringan akan dilakukan pada kayu yang mengena permukaan kulit dengan jarum yang telah dicelup pada dakwat untuk meninggalkan tatu di badan. Berikut adalah 'link' dokumentari tentang proses pembuatan mencacah badan secara tradisional yang dilakukan oleh orang Ibanhttps://www.youtube.com/watch?v=WlWXnZNn3u8. 

3. Gaya rambut
Berambut Panjang dan Pendek
Masyarakat Iban turut memiliki gaya rambut yang tersendiri dimana mereka berambut panjang dan pendek seperti gaya rambut dalam gambar. Gaya rambut sebegini dipercayai mempunyai fungsi dan kepercayaan tersendiri. Mereka mengumpul rambut yang panjang dibelakang bertujuan untuk menyelamatkan kepala mereka daripada ingin dipenggal dari belakang; daripada pihak musuh. Struktur rambut yang kuat itu mampu melindungi kepala apabila pergi bertempur dengan musuh.
4. Barangan dan alatan 
Tempayan (tajau)
Mandau (ilang)
Gong (tawak)
Selain itu, kaum Iban juga terkenal dengan budaya mereka nemiliki barangan tradisi seperti tempayan, mandau dan gong antaranya. barangan ini dikatakan untuk mengukur tahap hidup sesebuah keluarga pada masa dahulu. Dimana, masyarakat yang memiliki banyak barangan lama atau lebih dikenali sebagai lanting oleh kaum ini memiliki taraf hidup yang tinggi. Kini, barangan asal dijadikan tinggalan dari moyang untuk disimpan untuk dijadikan kenangan.
 5. Perayaan 
Perayaan Hari Gawai
Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.

  Air Tapai (Ai Tuak)